18 November 2016

Ceritera Konvokesyen


I

Kelihatan semua graduan bersesak-sesak untuk keluar dari dewan usai tamatnya istiadat konvokesyen. Terasa bahang di muka Nurul Husna saat dia melangkah keluar dari dewan.

Matanya melilau mencari kelibat buah hati pengarang jantung sambil jarinya pantas menekan nombor di telefon pintar. Setelah mengetahui tentang keberadaan mereka, Husna pantas mengatur langkah merentasi lautan manusia yang membanjiri kawasan dewan.

Wajahnya bertukar ceria saat dia terlihat kedua ibu bapanya berdiri tersenyum bangga. Terus dirangkul keduanya sambil dikucup pipi mereka tanda kasih dan sayang. Sejambak bunga bertukar tangan dan beberapa gambar diambil sebagai tanda kenangan bersama.

“Husna, mari kita makan dulu. Perut ibu ni dah berkeroncong lagu zapin ni.” Encik Hashim menggeleng melihat karenah isterinya yang kadang-kadang tidak mampu dikawalnya.

Ditariknya tangan mereka ke gerai yang didirikan berdekatan dengan dewan konvokesyen. Selesai makan, Husna tekun memandang telefon pintarnya, menanti jika ada pesanan dihantar oleh rakan-rakan yang sudah berjanji mahu mengambil gambar bersama.

Seorang demi seorang rakannya tiba. Kegembiraan terpancar di wajah mereka tatkala butang kamera ditekan. “Eh, mana Mastura? Bukan kita semua dah janji nak kumpul kat sini pukul 12?” Mereka saling berpandangan mengangkat bahu tanda tidak tahu.

Sementara mata Husna melilau mencari jika ada rakan rakan dari kolej mahupun sesiapa yang dikenali untuk ditarik mengambil gambar bersama, bahunya ditepuk dari belakang.

Sarah, gadis yang bersaiz kecil molek berkata, “Husna, kau nampak tak apa yang aku nampak ni?” tanyanya sambil mengangkat kening dengan ekspresi penuh makna. “Nampak apa?” Dia cuba menoleh ke arah yang ditunjuk Sarah dan kelihatan seseorang yang sangat dekat di hatinya. Aiman Hakim, ataupun mesra dengan panggilan Hakim sedang berdiri tidak jauh darinya; hanya beberapa langkah dan Husna sudah boleh berbual dengannya.

Husna berasa amat pelik kerana antara tiada apa pun yg menghalang pandangan mereka berdua namun Hakim tetap tidak menoleh ke arahnya. Alya, rakan Husna yang tinggi lampai berkata, “Eh Husna, aku nampak dia macam pandang kat kau lah.” “Taklah, kalau dia nampak aku, mesti dia dah datang dekat aku.” Terlihat riak sedih di muka Husna. Mana tidaknya, seolah-olah Hakim cuba mengelaknya walhal Husna berada dekat dengannya.

Husna agak berkecil hati apabila Hakim berkelakuan sedemikian. Dia tidak meminta Hakim datang dekat padanya kerana dia tahu akan batas mereka. Hanya sebuah senyuman dan ucapan tahniah sudah cukup buatnya. Bukannya dia dan Hakim seperti orang asing, mereka berkawan sejak hari pertama Husna di universiti. Hanya disebabkan satu insiden, mereka jadi begini.

“Husna, kau ok ke? Jomlah kita ambil gambar lagi. Entah bila kita nak jumpa lagi.” Husna cuba memadam perasaan sedihnya kerana tidak mahu menganggu hari bahagianya. “Eh, aku ok je. Jom, jom! Kita ambil gambar sampai habis bateri telefon kita.” Husna dan rakan-rakannya tertawa ria.

Pada saat itu, Husna berjanji pada dirinya yang dia harus melupakan Hakim. Dia mendoakan agar Hakim dan dirinya berjaya dalam hidup dan bertemu pasangan yang baik. ‘Selamat tinggal, Hakim.’ Bermonolog Husna sendirian saat dia meninggalkan varsiti yang menjadi saksi kisah persahabatan mereka.

II


Jam di tangan menunjukkan tepat 6 petang. Maisarah dan ahli keluarganya baru sahaja selesai bergambar kenangan sempena hari graduasi Maisarah. Maisarah tidak dapat meluangkan masa lebih lama bersama rakannya kerana dia belum menunaikan solat Asar lagi. Sidang konvokesyennya tamat pukul 5.30 petang, jadi masa setengah jam itu diperuntuk sehabis baik sebelum dia meninggalkan kawasan dewan.


Mujur fakultinya berada dekat dengan dewan konvokesyen. Jadi keluarganya menunaikan solat Asar di surau fakulti. Selesai solat, Maisarah menunggu ahli keluarganya di luar kerana tidak mahu mengganggu orang lain menunaikan solat.

Sedang dia leka menunggu sambil membelek jambangan bunga di tangannya, terdengar suara memanggjl namanya. “Mai!” Alangkah terkejutnya apabila melihat orang yang memanggilnya adalah Nazmi. Terasa bagai luruh jantungnya kerana jejaka idamannya berada di hadapannya.

“Eh, Nazmi! Tahniah dah konvo!” Maisarah cuba menyembunyikan rasa gementar. Mujur Nazmi tidak menyedari perubahan nadanya. Mereka berbual bertanyakan perkembangan masing-masing. Walaupun satu fakulti dan mereka berdua pernah memegang jawatan sebagai jawatankuasa kolej, dia merasakan perbualan ini yang paling panjang dan lama dilakukannya bersama Nazmi.

Sebelum mereka menghentikan perbualan, Nazmi bertanya, “Mai, bagi nombor telefon kau. Telefon aku rosak hari tu, jadi semua nombor hilang.” Dia mengeluarkan telefon dari poketnya dan menekan nombor yang disebut Maisarah.

“Okay Mai, ada rezeki kita jumpa lagi. Semoga berjaya di masa akan datang. Assalamualaikum.” Nazmi melambai meninggalkan Mai sambil tersenyum.
Hari terakhir di universiti tamat dengan kegembiraan. Maisarah tersengih sehingga tidak sedar kehadiran ahli keluarganya di belakang.

“Haa, tengok siapa tu?” Abangnya menegur. Tersipu malu Maisarah apabila diusik sebegitu. “Tak ada apa-apa. Jom kita balik.” Mai mengajak keluarganya ke tempat parkir kereta sambil menoleh ke arah Nazmi buat kali terakhir. “In shaa Allah, ada rezeki kita jumpa lagi.”

No comments: